MEDIA RELEASES

Pinda Undang-Undang Berkaitan Vandalisme, Hukum Pesalah Lebih Berat

KUCHING
3 JULY 2024

Undang-undang berkaitan vandalisme disaran dipinda agar pesalah dijatuhkan hukuman lebih berat sebagai pengajaran dan pencegahan terhadap kerosakan kemudahan utiliti dan telekomunikasi.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi berkata pindaan itu penting bagi membantu usaha kementerian dalam membanteras jenayah vandalisme yang menimbulkan kesulitan kepada rakyat.

“Saya turut menyarankan agar ciri-ciri keselamatan kemudahan utiliti dan infrastruktur telekomunikasi perlu dipertingkatkan dengan menggunakan teknologi terkini.

“Kita juga mencadangkan supaya diadakan pemeriksaan mengejut secara berkala dan berterusan ke atas premis pengedar barang-barang terpakai bersama pihak berkuasa,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Pencegahan Vandalisme Terhadap Kemudahan Utiliti dan Telekomunikasi 2024 di sini, hari ini.

Selain itu, Julaihi mengharapkan kerjasama daripada peniaga barangan terpakai supaya sentiasa memastikan setiap barangan yang dijual kepada mereka bukan dari sumber mencurigakan.

“Mereka (peniaga barangan terpakai) perlu melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya mendapati ada orang menjual barangan yang mencurigakan,” jelasnya.

Tambahnya, sokongan setiap pihak diperlukan bagi menjayakan kempen dan Program Anti Vandalisme yang dirancang Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak.

Source: TVS: https://www.tvsarawak.my/2024/...